“Saya Tidak Tahu Perbuatan Itu Salah”

KLANG: Chim Puck Leong, 47, dan Lim Li Li, 50, tidak pernah menduga bahawa sijil kelahiran anak lelaki mereka akan digantung apabila pasangan itu memberitahu pegawai di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bahawa anak tersebut merupakan anak angkat.

Pasangan itu turut disaman oleh JPN pada lima tahun lalu iaitu ketika anak mereka Jun Hao dilahirkan dan disiasat atas kesalahan pemalsuan dokumen pengambilan anak angkat.

Sijil kelahiran budak lelaki itu menamakan Chim dan Lim sebagai ibu bapa kandungnya berdasarkan dokumen yang disediakan oleh pihak klinik.

“Saya tidak tahu perbuatan saya itu salah. Sebab itulah saya langsung tidak teragak-agak untuk memberitahu pegawai di JPN bahawa anak itu anak angkat daripada pasangan yang tidak lagi berhubungan dengan saya,” kata Chim.

Ibu kandung Jun Hao melahirkannya di klinik dan Chim membuat permohonan dokumen bagi mendapatkan sijil kelahiran bayi tersebut.

Pasangan berkenaan kini khuatir sekiranya Jun Hao, 11, akan berdepan masalah untuk menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun depan jika kanak-kanak itu tidak diiktiraf sebagai warganegara Malaysia.

“Kami juga bimbang jika dia tidak dapat memohon MyKad pada tahun depan,” kata mekanik itu kepada pemberita di pusat perkhidmatan MCA Pandamaran Jaya.

Jun Hao kini sedang bersekolah di sekolah swasta Cina di Klang.

Sidang akhbar itu dianjurkan oleh Timbalan Ketua Perkhidmatan dan Aduan Awam MCA Klang, Datuk Tan Bok Koon.

Sementara itu, seorang chef berusia 18 tahun, Ang Zhong Xin turut berada dalam situasi sama apabila JPN menggantung sijil kelahirannya ketika dia membuat permohonan MyKad pada enam tahun lalu.

Bapanya, Alfred Ang berkata, dia mengambil Zhong-Xin sebagai anak angkat daripada seorang kawan melalui proses mahkamah.

“Dalam sijil kelahirannya, saya dinamakan sebagai bapa, namun nama ibu ditulis sebagai ‘maklumat tidak diperolehi’.

“Jadi, pihak JPN menggantung sijil kelahiran anak saya biarpun saya mempunyai perintah mahkamah yang meluluskan proses pengambilan anak angkat itu,” kata Ang.

Dalam pada itu, Tan memberitahu, pihaknya mendapatkan surat sokongan daripada Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang dialamatkan kepada Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi kedua-dua keluarga tersebut.

Menurutnya, Ka Siong telah memohon agar permohonan mendapatkan taraf kewarganegaraan bagi Jun Hao dan Zhong-Xin dapat dipertimbangkan.

Tan turut menasihatkan agar ibu bapa yang ingin mengambil anak angkat supaya menggunakan kaedah yang betul bagi mengelakkan masalah sama berulang.

Sumber Mstar Online