PADAM Video Di Instagram, Ini Penjelasan Datuk Siti!

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Siti Nurhaliza, 38, tidak menolak tindakannya memadam klip video imbasan kandungan yang dimuat naik ke Instagram, baru-baru ini dibuat kerana tidak mahu mencetuskan spekulasi.

Video yang memaparkan imbasan wajah dan bentuk bayinya yang dimuat naik pada 26 November lalu, turut menyelitkan rakaman perbualan doktor yang memberi gambaran jantina bayi dikandung adalah perempuan.

“Itu semua keseronokan kerana teruja. Bayi lelaki atau perempuan, nanti kita akan tahu juga. Saya bukan nak berahsia sangat, cuma tunggu masa yang sesuai.

“Lagi pun, suami tak berapa gemar saya berkongsi apa-apa mengenai kandungan sebab masih dalam perut.

“Biar betul-betul cukup sifat semuanya baharu kita kongsi,” katanya yang ditemui selepas larian amal, Jakel Charity Run For Rohingya di sini, pagi tadi.

Dalam video berdurasi 30 saat yang menarik perhatian netizen itu, terdengar doktor menyebut ‘princess’ merujuk kepada bayi yang dikandung penyanyi tersohor itu adalah perempuan.

Siti berkata, dia tidak akan berahsia mengenai jantina bayi yang bakal dilahirkan.

“Saya tidak akan berahsia… Apabila tiba masanya, saya akan umumkan jantina anak ini. Saya tahu, ramai yang ingin tahu, tetapi tunggu apabila kami bersedia mengumumkannya,” katanya.

Menyentuh mengenai pembabitannya dalam aktiviti larian itu biarpun hamil enam bulan, Siti berkata, ia adalah kerja amal sebahagian daripada keluarga Jakel.

“Sebelum ini, saya pernah terbabit dalam aktiviti larian Ariani. Dengan kesihatan yang diberikan, rasanya tidak ada masalah untuk saya terbabit sama.

“Ini juga mengikut saranan doktor yang mahukan saya lebih aktif selain memberi sokongan rakyat Malaysia kepada masyarakat Rohingya,” katanya.

Pada acara pagi tadi, Kumpulan Jakel menyumbang RM700,000 kepada masyarakat Rohingya di Mynmar, hasil kutipan daripada larian amal, Jakel Charity Run For Rohingya.

Kira-kira 7,000 peserta termasuk selebriti dan artis tempatan menyertai larian bermula jam 7 pagi itu, membabitkan jarak sejauh lima dan 10 kilometer.

sumber:Berita Harian

error: Content is protected !!