Pada Usia 64 Tahun Jackie Chan Bakal Lancar Album Baharu

MUNGKIN ramai yang hanya tahu pelakon legenda Hong Kong, Jackie Chan adalah seorang pelakon terutamanya generasi baru.

Namun tahukah anda, pelakon lagak ngeri dan kung fu ini juga seorang penyanyi dan mempunyai sembilan album lagu sepanjang karier menyanyinya.

Album pertamanya diterbitkan pada tahun 1984 berjudul Love Me dan album terakhir pada tahun 2002 berjudul With All One’s Heart.

Khabar terkini kedengaran mengatakan pelakon ini bakal melancarkan album terbaharunya pada Ogos depan. Berita tersebut pastinya akan membuatkan peminatnya gembira kerana sudah lama menanti.

Lelaki berusia 64 tahun ini mendedahkan perkara itu ketika menghadiri sebuah acara di Beijing, China baru-baru ini. Malah dia juga turut berkongsi berita gembira itu di Instagram.

Kata pelakon filem Police Story itu, dia mengambil masa selama tiga tahun menyiapkan album itu kerana terlalu sibuk dengan jadual penggambaran.

“Akhirnya album itu sudah pun siap!” katanya.

Dedah Jackie lagi, dia menggunakan khidmat beberapa kenalannya dalam industri muzik untuk menerbitkan album tersebut.

Malah anak lelakinya Jaycee yang juga pelakon dan penyanyi turut bertindak sebagai penerbit album tersebut. –KLICK.MY

error: Content is protected !!