Nak Pergi Haji? Jom kita buat rayuan.Cara Nak Dapat Giliran Haji Yang Cepat Dan Contoh Surat Rayuan Haji

16 Tip Hantar Rayuan Dan Permohonan Cepatkan Giliran Haji Bagi Tahun 2018

Semasa saya mendaftar Medina di Tabung Haji pada tahun 2015 ketika Medina baru berusia 4 bulan, gilirannya untuk mengerjakan haji adalah pada tahun 2069 (usia lebih kurang 54 tahun).

Syukur Alhamdulillah atas rezeki Allah saya dapat menunaikan haji pada 1437H & juga asbab menetap di Makkah, Medina turut serta dalam ibadah haji kami suami isteri.

Namun, saya difahamkan ia bukan haji wajib bagi Medina kerana berusia 3 tahun dan masih belum akil baligh. Simpanan Medina di TH telah lebih mencukupi, saya harap 10 tahun akan datang dipanjangkan umur dimurahkan rezeki Medina menerima tawaran haji hendaknya.

Tipsnya, setiap tahun duit hari raya Medina saya akan simpan di TH. Saya juga tidak bercadang untuk buka 2-3 akaun untuk Medina. Semuanya simpan dalam akaun TH sahaja.

Setiap bulan juga ada lebihan rezeki saya akan dahulukan simpanan untuk Medina di TH. Kelak boleh digunakan untuk pergi haji dan pendidikannya. Itu hak anak-anak, sebagai ibu bapa kita harus amanah dan jangan sesekali usik simpanan mereka.

Baca: 3 Tip Ini Bakal Buat Anak Anda Jadi Haji Muda

Pelbagai soalan telah saya dapatkan penerangan lanjut dan penjelasan dari pegawai Tabung Haji untuk dikongsikan kepada bakal jemaah haji sebagai panduan untuk proses rayuan sebagai satu alternatif, apa pun jua rezeki adalah ketentuan dari Allah SWT.

Antara yang dapat saya kongsikan adalah seperti berikut:

1. Bakal jemaah haji perlu membuka akaun Tabung Haji dengan jumlah minimum RM1,300.00 untuk layak mendaftar dan menerima tahun giliran menunaikan haji.

2. Bakal jemaah perlu membuat simpanan tetap sebanyak sekurang-kurangnya RM11,000.00 (jumlah yang perlu dibayar jemaah kepada pihak Tabung Haji bagi pakej muasassah adalah RM 9, 980 mengikut harga semasa haji).

3. Subsidi dari Kerajaan bagi setiap jemaah haji muasassah adalah RM9,570 dari jumlah sebenar yang perlu dibayar iaitu RM19,550.00. Ini adalah termasuk kos-kos pengurusan, kos pentadbiran, kos pesawat pergi balik, kos perubatan, kos makanan, kos penginapan di Makkah & Madinah selama tempoh haji iaitu 40 hari hingga 59 hari.

4. Bagi jemaah sudah menunaikan ibadah haji pada tahun 2010 hingga tahun ini, jemaah perlu menunggu hingga 5 tahun Hijrah untuk membuat permohonan semula bagi menunaikan ibadah haji kedua pada kadar harga RM19,550.00 (mengikut harga pakej muasassah semasa). TIADA subsidi diberikan kepada haji kedua.

cara-buat-rayuan-haji-1

Bagaimana hendak mempercepatkan giliran haji?

5. Jika jumlah simpanan jemaah sudah mencukupi (saya cadangkan supaya simpanan lebih kurang RM15,000 termasuk perbelanjaan peribadi sepanjang ibadah haji), jemaah boleh menghantar rayuan kepada pihak Tabung Haji di mana-mana kaunter TH di negeri masing-masing.

6. Buat lah rayuan setiap tahun tanpa berputus asa dan bertawakal pada Allah SWT agar dikurnia rezeki kepada kita. Jemaah yang menghantar surat permohonan rayuan akan ditapis oleh Lembaga Khas Tabung Haji, jika ada jemaah menolak tawaran haji pada tahun tersebut, pihak TH akan menimbang setiap surat permohonan rayuan yang dihantar.

7. Andai kata giliran kita menunaikan haji adalah 50 tahun akan datang, dengan usaha menghantar surat rayuan ini tidak mustahil akan dipanggil dalam tempoh lebih singkat dari giliran asal. InshaAllah.

8. Prosedur pihak TH tidak membenarkan kanak-kanak untuk melaksanakan ibadah haji, KECUALI jika anak-anak sudah pun akil baligh. Bagi ibu bapa buat lah simpanan haji untuk anak-anak bermula dari sekarang, setelah cukup simpanan tetap sebagai syarat menunaikan haji boleh kemuka kan rayuan kepada TH berserta surat pengesahan dari pihak doktor bahawasanya anak sudah mencapai akil baligh.

9. Kanak-kanak yang belum akil baligh ibadah hajinya belum lagi jatuh wajib, jadi sebaiknya pihak TH hanya membenarkan anak sudah akil baligh sahaja untuk turut serta bersama ibu bapa bagi melaksanakan ibadah haji.

Ibu bapa turut boleh menumpang rezeki anak yang ditawarkan untuk menunaikan haji sebagai pengiring.

10. Bagi jemaah warga emas, saya ingin cadangkan agar waris / anak-anak membuat simpanan berdaftar di TH. Usah lah biarkan ibu bapa yang sudah uzur melaksanakan ibadah haji bersendirian tanpa bantuan dari anak-anak.

11. Jemaah warga emas yang sudah uzur diberi kelonggaran untuk membawa seorang pengiring dari kalangan waris / saudara terdekat JIKA rekod perubatan menunjukkan ibu bapa perlu diuruskan oleh waris.

Surat pengesahan doktor dari klinik-klinik panel TH akan dikeluarkan untuk rujukan pihak TH. Bincang dengan pegawai perubatan berkenaan jika waris mahu ibu bapa ditemani untuk melaksanakan ibadah haji bagi kes tertentu.

12. Pengiring juga boleh mengemukakan surat rayuan kepada pihak TH untuk menemani ibu bapa ke Tanah Suci walaupun ketika itu waris TIDAK mendaftar sebagai jemaah haji.

13. Banyak kelonggaran dan pengecualian diberikan oleh pihak TH kepada semua waris yang berkemampuan bagi memastikan bakal jemaah warga emas dapat diurus dan dijaga dengan baik. Ambil peluang ini dengan berbakti kepada ibu bapa selagi hayat dikandung badan.

Bilakah tarikh Proses Rayuan Bakal Haji?

14. Setiap tahun Hijrah: 25 Safar hingga 29 Jamadil Akhir (sila rujuk kalendar Masihi bagi setiap tahun Hijrah semasa, jika 25 Safar 1439H jatuh pada 14 November 2017). Bakal jemaah boleh mengemukakan / menghantar surat rayuan pada bulan Hijrah berkenaan sahaja.

Surat rayuan boleh mula dihantar dari tarikh 14 November 2017 (25 Safar 1439H) – kurang dua bulan lagi.

Kursus Asas Haji juga dijangka bermula November ini. Bakal jemaah di samping itu diunjurkan untuk turut serta dalam kursus insentif haji bagi mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan haji walaupun baru menghantar borang rayuan. Siapa tahu rezeki menerima panggilan Agung pada tahun hadapan? InshaAllah.

15. Surat tawaran bagi jemaah terpilih melalui proses rayuan ini biasanya akan dimaklumkan paling lewat 27 Zulkaedah, malah ada juga beberapa hari sebelum penerbangan KT akhir.

16. Format surat rayuan boleh dapatkan melalui carian Google / kaunter TH. Ambil sedikit masa untuk mengunjungi TH terdekat bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut dan tepat.

Juga tertakluk kepada pindaan syarat dan kuota dari Kerajaan Arab Saudi.

Jika bakal jemaah berkemampuan dan ingin mendapatkan pakej lebih selesa, terdapat beberapa pakej premium & VIP ditawarkan oleh TH Travel (rujuk gambar borang).

borang-tabung-haji-1

Malah, ada beberapa travel agensi swasta turut menawarkan perkhidmatan pakej haji yang berdaftar dan diluluskan oleh Tabung Haji dengan harga minimum RM35,000 hingga RM100,000 (bergantung kepada harga semasa).

Pilihan di tangan bakal jemaah. Perbezaan antara pakej muasassah dengan pakej premium / VIP? Tentu lah perkhidmatannya setaraf dengan nilai dibayar. Setiap jemaah ada bahagian dijanjikan oleh Allah SWT, walaupun hanya pakej muasassah setiap perjalanan ibadah dipermudahkan Allah & begitu juga sebaliknya.

Adalah lebih baik bermula hari ini pada detik Muharam di tahun baru, kita tanamkan azam menunaikan haji pada usia muda, di saat masih diberi kudrat dan tenaga. Dan lebih baraqah lagi jika mampu berkhidmat buat ibu bapa melaksanakan ibadah haji bersama. MashaAllah!

Mari buat kira-kira daripada sekarang, agihkan simpanan utamakan rukun Islam ke-5. Berpegang pada rezeki Allah. inshaAllah!

Semoga bermanfaat.
Amera Sabrena
Cara Nak Dapat Giliran Haji Yang Cepat Dan Contoh Surat Rayuan Haji

Alhamdulillah , akhirnya aku jumpa juga tips dan cara cepat nak dapat giliran naik haji dan cara nak menabung pergi Haji dengan cara yang mudah . Apapun semuanya bergantung sepenuhnya kepada keizinan Allah SWT . Aku sekadar berkongsi sebab aku rasa tips yang dia bagi sangat mudah dan boleh difahami . Jalan dah ada cuma tinggal lagi nak usaha sahaja .

Sebagai umat islam yang beriman , naik Haji adalah misi paling utama . Tapi berapa ramai yang nak berusaha mencapainya ?

Aku dan dd pun dah daftar haji ( selepas ni insyaAllah daftarkan anak-anak pulak ) , giliran yang dibagi buat aku tepuk dahi 8 kali , samada aku hidup tapi dah selangkah menuju alam barzakh atau mati sebelum giliran tiba .


naik haji diusia muda

Tapi itu OK jugak berbanding duit banyak tapi daftar haji pun malas .

Aku pernah tolong satu makcik warga indonesia buat surat rayuan dia untu ke haji , selepas beberapa kali percubaan rayuan akhirnya rayuan diterima . Seronoknya makcik tu bukan kepalang . Aku dengar pun rasa bersyukur .

Kat entry ni pun aku ada selit sekali cara nak buat surat rayuan . Korang tinggal ubah sikit ikut kesesuaian .

Aku sendiri lepas baca tips ni terus rasa semangat dia lain macam . Aku yakin aku mampu buat seperti yang disarankan . Tinggal Allah nak izinkan atau tidak jer . Aku cakap kat dd , jom bang kita buat macam ni , dd pun OK .

So korang , selamat membaca dan ambiklah apa yang baik dari perkongsian aku ni . Kalau korang rasa mustahil itu perkara biasa sebab kita manusia . Tapi tiada yang mustahil bagi Allah SWT . Doa Usaha Istiqamah dan Tawakal . Selebihnya serahkan pada rahmat dan kasih sayang Allah SWT kepada kita .


sumber

CARA CEPAT PERGI HAJI 

Hah! Tahun 2081 baru dapat pergi haji ? Umur saya sekarang ( tahun 2016 ) sudah 30 tahun. Maksudnya saya dapat pergi haji ketika berumur 95 tahun ?

Nampak gaya macam peluang tipis nak pergi haji kalau tunggu giliran. Persoalannya, benarkah mustahil untuk kita pergi haji sebelum giliran yang diberikan?

Seorang pengguna FB telah menulis dalam akaun FB’nya tips bagaimana dapat pergi haji lebih awal daripada tahun giliran yang sebenarnya.

sumber

TIPS PERGI HAJI DI USIA MUDA

Cara-cara ni semuanya inshaAllah boleh dilakukan oleh anda semua. Saya tulis ringkas dalam bentuk point sahaja ya, supaya lebih jelas dan mudah difahamkan. Ada 4 langkah semuanya .

1) Buka akaun Tabung Haji.

2) Daftar Haji. Untuk mendaftar, anda perlu ada sekurang-kurangnya RM1300 di dalam akaun Tabung Haji. Kemudian anda akan diberi jangkaan tahun berapa anda bakal menunaikan haji. Lokasi untuk mendaftar : Di mana-mana cawangan TH, laman web TH, Cawangan Uniteller Bank Islam dan Bank Rakyat, ATM / CDM Maybank, atau ATM BIMB

3) Kumpulkan duit sekurang-kurangnya RM10k. Mungkin part ni kita akan rasa susah sedikit. Tapi kalau kita memang betul-betul bersungguh nak capai RM10k tu, inshaAllah tempoh menunggu tu tidak lama jika kita konsisten menabung. ( Contoh cara menabung akan diberitahu di akhir artikel).

4)
a)Bila duit dalam akaun anda dah cukup RM10k, anda dah boleh mula buat rayuan. Kalau tak cukup RM10k pun sebenarnya boleh merayu, tapi kebiasaannya pihak Tabung Haji akan melihat adakah wang kita sudah mencukupi untuk membayar pembiayaan haji.

Dikhuatiri jika rayuan diluluskan, tiba-tiba duit belum cukup, jadi tawaran perlu ditolak dan perlu diganti dengan orang baru. Jadi sebaiknya anda cukupkan dahulu RM10k tersebut di dalam akaun anda.

b) Setiap tahun, Tabung Haji akan membuka kaunter rayuan Haji. Anda perlu alert bilakah tarikh kaunter ini dibuka. Ia tidak dibuka sepanjang tahun. Ketika inilah ramai orang akan mula menulis surat rayuan dan menyatakan sebab-sebab kukuh mengapa pihak Tabung Haji perlu meluluskan rayuan mereka. (untuk surat rayuan ini, cubalah beri alasan dan sebab yang kuat mengapa pihak Tabung Haji perlu meluluskan rayuan anda).

c) Kalau anda nak tahu, untuk Haji tahun ini tahun 2016, ada sekitar 2500 orang sekitar Lembah Klang yang dijadualkan akan menunaikan haji, namun selepas ujian pemeriksaan kesihatan, 60% tidak lulus (atas faktor kesihatan) dan tidak dapat meneruskan proses seterusnya untuk menunaikan haji.

Bermakna, ada banyak kuota baru yang kini kosong! Itu baru cerita di Lembah Klang, pastinya setiap negeri setiap daerah akan ada kuota kosong yang perlu diganti dengan orang lain. Mungkinkah anda orangnya? Tak mustahil.

d) Ada lagi kuota kosong pada setiap tahun akibat kematian. Iaitu apabila calon haji itu meninggal sebelum sempat menunaikan haji pada tahun tersebut. Jika yang meninggal itu lelaki, dan dia pada asalnya mahu menunaikan haji dengan isterinya, bermakna kuota isterinya juga perlu diganti dengan orang lain. Kerana wanita yang kematian suami, di dalam tempoh iddah, tidak boleh menunaikan ibadah haji.

e) Nak lagi kuota kosong? Yang ini mungkin tidak terlalu banyak, tetapi biasanya tetap ada, iaitu wanita yang hamil sebelum berangkat menunaikan haji. Jika dia sepatutnya menunaikan haji pada tahun sekian-sekian, tetapi ditakdirkan dia hamil sebelum berangkat, maka pihak Tabung Haji tidak akan membenarkannya menunaikan haji. Jadi akan ada lagi kuota kosong untuk anda.

Jadi jelaslah di sini bahawa sebenarnya ada sangat banyak peluang untuk anda mendapatkan kuota haji dan tidak perlu menunggu giliran tahun yang asalnya ditetapkan oleh pihak Tabung Haji untuk anda. Boleh jadi giliran anda pada asalnya ialah tahun 2048, tapi pada tahun 2018 anda sudah berjaya mendapatkan giliran setelah membuat rayuan. Tidak mustahil, dengan izin Allah.

Tentang bilakah tahun yang anda akan dapat tu, ia bergantung kepada Allah, Allah melihat usaha kita, dan percayalah, Allah tidak akan mensia-siakan setiap usaha hambaNya.

Namun jika giliran itu tetap juga tidak datang seawal yang anda harapkan, usahlah kecewa, teruskan berusaha, teruskan membuat rayuan SETIAP TAHUN dan yang pasti, berdoalah di sepertiga malam tentang hasrat anda untuk mengunjungi rumahNya, buktikan anda betul-betul mahu ke sana.

Ibadah haji bukan milik orang kaya. Ia milik semua. Ada orang kaya yang tidak dapat pergi kerana masalah kesihatan, ada orang yang kurang kaya tapi dapat juga akhirnya menunaikan haji kerana gigih menabung serta tidak henti berdoa.

Allah yang berhak pilih siapakah tetamuNya, maka buktikanlah kepada Dia bahawa anda sungguh-sungguh mahu ke sana dengan segera, ketika umur masih muda dan jasad masih kuat.

sumber

Nota Cara Menabung Secara Ringkas

1) Untuk menabung dalam tempoh 8 tahun: RM25 seminggu atau sehari RM3.60 sahaja. ( Setahun ada lebih kurang 52 minggu. Setahun= RM25 x 52 minggu = RM1300. RM1300 x 8 tahun = RM10400 ). Atau, nak lagi cepat ?

2) Untuk menabung dalam tempoh 4 tahun: RM50 seminggu atau sehari RM7.14 sahaja. ( Setahun ada lebih kurang 52 minggu. Setahun= RM50 x 52 minggu = RM2600. RM2600 x 4 tahun = RM10400 ).

Kesimpulannya kalau sekarang umur anda masih di awal 20-an, tak mustahil sebelum umur 30 anda sudah boleh menunaikan haji, atau selewat-lewatnya sebelum anda mencecah 40 tahun, inshaAllah fizikal masih sihat ketika itu.

P/s: Atau nak cara lebih cepat untuk dapat kuota haji, kahwinlah dengan orang yang giliran hajinya tidak lama lagi. Jika suami sahaja yang mendapat tawaran, isteri boleh buat rayuan dan kebiasaannya pihak Tabung Haji akan luluskan permohonan tersebut tapi pastikan RM10k tersedia di dalam akaun Tabung Haji. Dan untuk kes isteri (yang berumur 44 tahun ke bawah) yang mendapat tawaran haji, suami tak perlu risau kerana secara automatik suami akan dapat pergi bersama isteri kerana si isteri wajib ada mahram.

Silakan share untuk manfaat bersama atau sebagai rujukan anda pada masa hadapan.

Tambahan tips dari saudara Syafiq Kamil. –> Saya berminat untuk tambah info sikit. Bagi yang nak daftar haji, tapi belum cukup wang permulaan sebanyak RM1300, anda hanya perlu print penyata KWSP anda yang terkini dan bawa bersama ketika mendaftar di kaunter TH. Buka akaun TH cuma bayar RM10, manakala daftar haji pula PERCUMA (asalkan ada penyata KWSP). Yang penting daftar siap2, insyaAllah rezeki akan datang kemudian. Dah cuba, memang senang. Pihak TH juga minta war-warkan perkara ini. Terima kasih.]

Sumber: norsajidahzulkafli

BAGAIMANA MAHU BUAT RAYUAN PERGI HAJI

Untuk permohonan rayuan haji, sila kemukakan surat rayuan dalam format surat rasmi yang lengkap bertandatangan kepada:

Bahagian Operasi Domestik,
Lembaga Tabung Haji, Lantai 30,
Bangunan Ibu Pejabat TH,
201 Jalan Tun Razak, 50732 Kuala Lumpur.

Isi kandungan surat rayuan:

Nama penuh
Nombor akaun TH
Nombor MyKad

Tujuan rayuan
Tandatangan

Bakal Haji juga boleh melampirkan dokumen berkaitan sebagai sokongan kepada rayuan tersebut.

Contoh Surat Rasmi Rayuan Haji 

Rogayah binti Mokhtar
Lot 1234, Jalan Sinar , Kampung Harapan
84000 Muar , Johor

18 Disember 2015

Kepada,

Bahagian Operasi Domestik,
Lembaga Tabung Haji, Lantai 30,
Bangunan Ibu Pejabat TH, 201 Jalan Tun Razak,
50732 Kuala Lumpur.

Tuan/Puan,

PER : RAYUAN UNTUK MENDAPAT TEMPAT MENUNAIKAN HAJI PADA MUSIM 1437H/2016M

NAMA PENUH: ROGAYAH BINTI MOKHTAR
KAD PENGENALAN: 450101-01-0400
No AKAUN TH: 12345678

Perkara di atas adalah dirujuk.

Saya memohon jasa baik dan budi bicara yang ikhlas daripada pihak tabung Haji agar dapat menawarkan tempat kepada saya untuk menunaikan Haji pada tahun 1437H atau 2016 Masihi.
Saya memohon dipercepatkan kerana usia yang telah lanjut (70 tahun) dan saya telah 5 kali menjalani Kursus Haji tetapi masih dalam senarai menunggu. Simpanan saya juga telah mencukupi untuk menunaikan haji dalam waktu terdekat ini.

Semoga pihak tabung haji dapat menunaikan rayuan saya yang tersebut di atas.

Sekian, terima kasih.

Yang Mengharap,

(ROGAYAH BINTI MOKHTAR)

No K/P: 450101-01-0400

Surat rasmi rayuan tersebut boleh dihantar ke Tabung Haji Contact Center (THCC) melalui:

E-mel : th-info@lth.gov.my
Faks : 03-77284959

Atau menghantar surat rayuan haji ke cawangan TH berhampiran.

Sekiranya ada sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Tabung Haji Contact Center ( THCC ) di talian : 03-62071919

Selamat mencuba dan semoga dipermudahkan .

Sumber: norsajidahzulkafli

 

error: Content is protected !!