Mamat Exist Hidup Merana, Mahu Tebus Kesilapan Lalu..Keadaan Mamat Exist Kritikal Sengsara Merana, Keinginan Mamat Buat Ramai Netizen Sayu Dengannya..

Bekas vokalis kumpulan Exist iaitu Mamat terpaksa menumpang di beberapa rumah kenalannya di Kuala Lumpur selepas mengambil keputusan untuk kembali aktif sebagai penyanyi.

Mamat atau nama sebenarnya, Mohd Ali Kamarudin, 36, berkata, semenjak bercerai dengan bekas isterinya, Marshila Mustapa Kamal empat tahun lalu dia lebih selesa menumpang di rumah temannya kerana dapat berkongsi masalah dengan mereka.

“Saya tiada rumah di Kuala Lumpur jadi setiap kali ada tugasan di sini saya akan duduk menumpang dengan kawan-kawan atau pun tidur di hotel.

“Biarpun saya ada rumah di Johor tetapi saya kini lebih selesa untuk tinggal bersama rakan-rakan kerana sekurang-kurangnya ada teman untuk berbicara dan berkongsi masalah,” katanya.

Dalam pada itu, Mamat turut mengakui dia kadang-kala tertekan dengan pandangan negatif sesetengah pihak terhadapnya berhubung kisah silamnya termasuk dalam soal penyalahgunaan dadah sebelum ini.

Jelas Mamat, dia berharap masyarakat dapat memberinya peluang untuk menebus semua kesilapan yang pernah dilakukannya dan bukan terus menghukumnya tanpa mengetahui keadaan sebenar.

“Mungkin saya nampak seperti tidak kisah dengan apa yang orang perkatakan tentang saya tetapi jauh di sudut hati perasaan sedih itu ada.

“Apa yang berlaku sebelum ini adalah sejarah dan harap ia boleh diambil sebagai iktibar malah ia mengajar saya mengenai erti kehidupan,”ujarnya.

Sementara itu, Mamat berkata, dia bakal muncul dengan single terbaharunya berjudul Keluhan Cinta dan berharap lagu itu nanti akan dapat diterima peminat selepas sekian lama menyepi.

Jelas Mamat, lagu berkenaan diterbitkan oleh Anita Entertainment dan dia bersyukur atas kepercayaan diberikan oleh syarikat berkenaan.

“Klip video lagu itu juga sudah dirakamkan dan sedang menjalani proses suntingan. Harap-harap ia akan dapat diterima peminat,” ujarnya.

Dalam pada itu saksikan temubual video wartawan kami, Addy Junaidi bersama Mamat menerusi ruangan Zoom. Penyanyi ini menjelaskan pendapatannya terjejas. Wajah terbaharu Mamat mengejutkan banyak pihak kerana dia kelihatan cengkung bagaikan tidak terutus.

Terdahulu pada May 2017,

BEKAS vokalis kumpulan Exist, Mamat, didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini selepas mengaku bersalah memasukkan methamphetamine ke dalam badan, enam tahun lalu.

Mamat atau nama sebenarnya, Mohd Ali Kamarudin, 39, dijatuhkan hukuman itu oleh Majistret Noor Aisyah Ahmad sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Noor Aisyah turut memerintahkan Mamat menjalani pengawasan polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun, manakala sekiranya gagal membayar denda terbabit, dia boleh dipenjara lima bulan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mamat didakwa memasukkan dadah berbahaya itu ke dalam badannya di pejabat Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara, pada 3.30 petang, 21 Mac 2011.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Arwa Abdul Rahman yang mewakili Mamat memohon hukuman ringan buat anak guamnya memandangkan pertuduhan yang dihadapkan adalah kes pada 2011.

“Anak guam saya ditahan pada 2011 untuk kes ini dan kini dia sudah bebas daripada penyalahgunaan dadah.

“Kini, Mamat bekerja sebagai jurujual jualan langsung dan turut menanggung tiga anak yang masih bersekolah berusia 11 hingga 15 tahun,” katanya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali.

Sumber : sarkasteek.com amp; www.hmetro.com.my

error: Content is protected !!