Detik Mencemaskan Penunggang Motosikal Dihalang Dua Harimau

Detik Mencemaskan Penunggang Motosikal Dihalang Dua Harimau

DUA penunggang motosikal di India berhadapan detik mencemaskan apabila perjalanan mereka terhenti akibat dihalang dua ekor harimau dewasa.

Bayangkan kalau anda berada di tempat mereka, apakah yang akan dilakukan?

Video yang dirakam dari sebuah kenderaan lain di lokasi kejadian menunjukkan, dua lelaki sedang menunggang motosikal di sebuah jalan raya dengan hutan tebal di kiri kanan apabila mereka berhenti kerana terserempak dengan harimau.

Mungkin terlalu takut dan panik, mereka tidak bergerak ataupun menghidupkan enjin motosikal selain kerana tidak mahu mengejutkan binatang buas tersebut sekaligus mencetus serangan tidak dijangka.

Dua ekor harimau masing-masing berada di depan dan belakang, berjalan di sekitar mereka.

Individu di dalam kenderaan yang merakam video juga dilihat menasihati mereka supaya tidak melakukan apa-apa pergerakan.

Detik mencemaskan berlaku selama beberapa minit sebelum harimau memberi jalan lantas mereka bergegas menghidupkan enjin motosikal dan beredar dengan laju.

Kedua-dua pemuda tersebut akhirnya selamat tanpa sebarang kecederaan dalam kejadian yang berlaku di Maharashtra, India itu.

India diketahui memiliki populasi harimau terbesar di dunia namun binatang buas itu kian terancam akibat hilang habitat dan aktiviti pemburu haram.

Hal ini menyebabkan konflik antara manusia dengan harimau tidak dapat dielakkan.

Bagaimanapun Jabatan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan India menganggarkan jumlah harimau akan meningkat menjadi hampir 3,000 pada 2019 kerana habitat mereka mula dilindungi dan dipelihara. –KLICK.MY

 

error: Content is protected !!