Dato’ Siti Kongsi Detik-Detik Cemas Komplikasi Melahirkan Siti Aafiyah

Penantian 11 tahun sebelum  bergelar ibu membuatkan proses kelahiran Siti Aafiyah menjadi sesuatu yang pastinya sukar dilupakan Dato’ Siti Nurhaliza. Bayi yang dilahirkan dengan berat 3.55 kg terus mencuri tumpuan peminat diva ini dan menjadi bualan di laman sosial.

Siti dalam majlis tahnik dan aqiqah semalam berkongsi detik cemas ketika di dewan bedah puteri kesayangannya itu dilahirkan.

Hilang banyak darah

Katanya, setiap kelahiran mempunyai kisah tersendiri dan ibu-ibu sudah tentunya ada cerita mereka sendiri. Bagi penyanyi 39 tahun ini, komplikasi kehilangan darah adalah apa yang dihadapinya.

Setiap ibu mempunyai pengalaman berbeza ketika melahirkan anak. Saya pula berlaku komplikasi apabila kehilangan banyak darah akibat faktor tertentu.

Alhamdulillah, dengan kecekapan doktor yang pantas menggantikan semula darah yang hilang menjadikan keadaan saya kembali normal.

Di bawah pengawasan doktor

Ujarnya lagi, kerana komplikasi itu, dia diletakkan di bawah seliaan doktor dan kemudiannya dipindahkan ke bahagian wad biasa setelah semuanya stabil.

Seharian saya berada di wad bersalin di bawah pengawasan doktor sebelum dipindahkan ke wad biasa.

Hari ketiga Siti sudah boleh berjalan. Siti cuba kuatkan semangat dan tak mahulah terlalu manjakan diri.

Lihat anak, sakit hilang serta-merta

Siti juga mengakui ada keinginan untuk mendapatkan anak lelaki pula namun menyerahkan segalanya kepada soal rezeki. Dia juga mengatakan situasi genting bersalin anak pertamanya itu akan dijadikan pengalaman seumur hidup.

Sebagai wanita, kita kena lalui situasi itu untuk dijadikan pengalaman. Sebaik saja melihat wajah anak, serta merta semua rasa sakit hilang.

Penyanyi Nirmala ini dalam proses berpantang dan hanya kembali giat dalam aktiviti seni sekitar hujung tahun ini.

Sumber: Berita Harian

error: Content is protected !!