Akibat Diculik tentera Jepun dan menjadi buruh paksa, 64 Tahun Ibu Rindu Nak Pulang ke Tanahair.

Cuba bayangkan perasaan korang bila terperangkap kat satu negara yang korang sendiri tak familiar. Korang terpaksa berjauhan dengan keluarga dan takde sesiapa dikenali dan boleh bergantung harap. Mesti macam-macam perasaan yang susah nak digambarkan muncul di hati.
Mungkin itulah yang dihadapi oleh Muhd Zulkifli yang akhirnya berjaya kembali ke Tanah Air selepas terkandas di Kemboja selama hampir 24 tahun! Ceritanya bermula pada tahun 1993 bila Zulkifli dan 14 orang rakyat Malaysia pergi ke Kemboja untuk berkerja kat sebuah syarikat balak milik orang Malaysia kat sana. Tapi keadaan mula berubah bila berlakunya krisis politik kat Kemboja yang menyebabkan syarikat dia berkerja tu tutup. Majikan dia pun larikan diri dengan membawa dokumen perjalanan Zulkifli.
Akibat Diculik tentera Jepun dan menjadi buruh paksa, 64 Tahun Ibu Rindu Nak Pulang ke Tanahair.
Mohd Zulkifli (tengah) terkandas sebab takde dokumen pengenalan diri. Imej dari hmetro.

Jadinya, Zulkifli pun terpaksalah tinggal secara haram dekat Kemboja. Untuk nak elakkan diri daripada ditangkap dia pun berpindah-randah dari satu hutan ke hutan dengan bekerja sebagai pembelah kayu. Tapi pada Mac lepas, Zulkifli berjaya masuk ke Malaysia melalui sempadan Bukit Kayu Hitam, lepas menempuh perjalanan sejauh 1,400 kilometer dari Koh Kong, Kemboja dengan menaiki kereta dan motosikal sewa! Akhirnya kerinduan Zulkifli terhadap saudara maranya teriubat.
Tapi korang tahu tak ada seorang lagi rakyat negara ini yang pernah terkandas kat Korea Selatan selama 64 tahun! Itulah yang menimpa Allahyarhamah Mariam Johari atau nama Koreanya, Kim Soon Ae. Ceritanya bermula apabila dia…

Diculik tentera Jepun dan menjadi buruh paksa

Mariam Binti Johari dilahirkan di Plentong, Johor pada 16 Mac 1921. Pada usia 11 tahun, Mariam berkahwin dengan seorang lelaki yang juga adalah jirannya. Hasil dari perkahwinan itu, mereka dikurniakan 4 orang anak. Bagaimanapun, anak keempatnya itu meninggal dunia beberapa bulan selepas dilahirkan.Walaupun begitu, keadaan mula berubah bila Perang Dunia ke-2 meletus. Pihak Jepun berjaya menguasai Tanah Melayu dan rantau Asia sekitar tahun 1942. Suami Mariam masa tu pun mula menyertai tentera. Tapi satu perkara terjadi kepada Mariam apabila dia dah diculik oleh tentera Jepun masa tengah berniaga buah kat pekan Plentong pada tahun 1943. Mariam jugak dikerahkan sebagai buruh paksa untuk membina landasan kapal terbang di Senai, Johor.
Akibat Diculik tentera Jepun dan menjadi buruh paksa, 64 Tahun Ibu Rindu Nak Pulang ke Tanahair.
Mariam Johari ketika zaman mudanya. Imej dari budak-shinchan.blogspot

Tapi masa berkerja sebagai buruh ni, Mariam berjumpa dengan seorang tentera kerahan Jepun dari Korea yang bernama Cho Se Won. Mereka berkenalan dan mula jatuh cinta antara satu sama lain. Jadinya lepas Jepun kalah dalam Perang Dunia ke-2, Mariam bertindak ikut Se Won balik ke Korea untuk berjumpa dengan ibu bapa dan keluarga lelaki tersebut. Tapi keadaan jadi tak seperti yang dirancang bila Mariam terpaksa tinggal kat rumah Se Won selama 3 tahun!

Berkahwin dan terkandas di Korea Selatan

Hanya lepas 3 tahun Mariam tinggal bersama keluarga Se Won, barulah dia berkahwin dengan lelaki tersebut pada 1949. Tak sampai setahun berkahwin, tercetus pulak Perang Korea pada 1950. Se Won terpaksa menyertai tentera dan meninggalkan Mariam sendirian.
“Menerusi perbualan bersama penduduk kampung, Mariam disukai ramai tetapi mereka tidak menolak kemungkinan Mariam menghadapi pelbagai masalah. Ini kerana, masyarakat Korea Selatan tidak terdedah kepada orang asing dari negara lain kecuali Korea Utara atau China yang memiliki fizikal hampir menyerupai kami, sebaliknya Mariam yang berkulit lebih gelap berbanding penduduk tempatan dan mempunyai mata bulat, menyebabkan gerak gerinya diperhatikan penduduk.” – Park Keon Young, Produser dari Korea Broadcasting System (KBS). Dipetik dari Mesra.net.Dipetik dari Mesra.net.
Akibat Diculik tentera Jepun dan menjadi buruh paksa, 64 Tahun Ibu Rindu Nak Pulang ke Tanahair.
Perang Korea berlaku dari 1950 hingga 1953. Imej dari CNN.

Lepas 3 tahun dalam berkhidmatan tentera, Se Won akhirnya balik. Tapi kali ni satu lagi perkara yang menyedihkan berlaku. Rupa-rupanya Se Won dah berkahwin lain dengan seorang janda anak tiga. Keadaan ni dah buatkan kehidupan Mariam semakin tertekan.
“Masyarakat Korea mementingkan zuriat bagi memastikan kesinambungan keluarga mereka dan mungkin disebabkan Mariam masih tidak boleh melahirkan anak, Cho terpaksa membawa pulang janda beranak tiga itu.” – Park Keon Young, Produser dari Korea Broadcasting System (KBS). Dipetik dari Harian Metro.
Dia juga terpaksa duduk serumah dengan madunya itu. Akhirnya, Mariam ambik keputusan untuk berhijrah ke Seoul dan berkerja sebagai pembantu rumah kat sana. Mariam jugak berkahwin sekali lagi dengan seorang yang dikenali sebagai Ji pada sekitar tahun 1962. Dia selepas itu tinggal bersama anak tirinya, Ji Young Un.
Sepanjang berada di Korea, Mariam sentiasa berkerja keras untuk kumpul duit dan bercita-cita nak balik semula ke Malaysia jika diberikan peluang. Dikatakan Mariam dah cuba beberapa kali minta bantuan dekat Kedutaan Malaysia di Korea Selatan. Kali terakhir dia pergi ke kedutaan adalah pada tahun 1987. Tapi malangnya Kedutaan Malaysia tak layan permintaan Mariam, malah suruh dia pergi ke Kedutaan Singapura.
Akibat Diculik tentera Jepun dan menjadi buruh paksa, 64 Tahun Ibu Rindu Nak Pulang ke Tanahair.
Mariam dan keluarga anak tirinya. Imej dari suaraselatanonline.blogspot

Penantian dan kegagalan Mariam kembali ke Malaysia membuatkan wanita ini terkandas di Korea Selatan selama 64 tahun. Selama itu juga, dia memegang kad warga asing yang mencatatkan tarikh lahir, tempat lahir, tempat tiba di Korea dan pelabuhan terakhir sebelum tiba di Korea. Dalam kad tu jelas tertulis yang Mariam berasal dari Malaya (Tanah Melayu) dan perlabuhan terakhirnya adalah Pelabuhan Singapura.

Keinginan Mariam berjumpa dengan anak-anaknya dapat perhatian seorang produser TV

Setelah hampir 64 tahun terpisah dari Tanah Air dan anak-anak, akhirnya kisah hidup dan penderitaan Mariam mendapat perhatian dari seorang produser rancangan TV di Korea Selatan. Orang itu adalah Park Keon Young yang juga merupakan produser rancangan Love In Asia yang disiarkan di channel Korea Broadcasting System (KBS).
Menurut Keon Young, pada 2007 dia dah didatangi oleh seorang wanita dari sebuah NGO yang menceritakan kisah Mariam kepadanya. Dia pun berasa sangat terharu dan merasakan Mariam memang patut dibantu, apatah lagi wanita itu sangat rindukan anak-anaknya. Makanya, Keon Young dah cuba menghubungi anak-anak Mariam di Malaysia.
Akibat Diculik tentera Jepun dan menjadi buruh paksa, 64 Tahun Ibu Rindu Nak Pulang ke Tanahair.
Keratan akhbar tentang Mariam. Imej dari kisahmalaysia.blogspot

Kisah Mariam mula jadi perhatian di Malaysia, bila akhbar-akhbar di negara ini menyiarkan hasrat Mariam untuk berjumpa dengan anak-anaknya yang dah berpuluh tahun terpisah. Anak-anak Mariam masa tu jugak tak sangka yang mak mereka sebenarnya masih lagi hidup. Mereka adalah Ramlah Sonni (72 tahun), Jelani (70 tahun) dan Jamnah (65 tahun).
Anak-anak Mariam selepas tu dah dibawa ke Korea Selatan untuk berjumpa dengan ibu mereka. Tapi mereka yang pergi ke sana cuma Ramlah Sonni dan Jelani, manakala Jamnah tak dapat ikut sebab masalah kesihatan. Mariam yang datang ke studio KBS tak diberitahu pasal kehadiran anak-anaknya ke studio itu.
“Mereka disatukan kembali dalam suasana penuh menyayat hati yang turut merentap jiwa para penonton yang memenuhi studio berkenaan ketika program khas merakam detik-detik bersejarah itu berlangsung… Wanita kelahiran Plentong, Johor itu kelihatan terkejut dan terketar-ketar kegembiraan apabila melihat Ramlah Sonni, 72, dan Jelani, 70, bergerak ke arahnya.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.
Akibat Diculik tentera Jepun dan menjadi buruh paksa, 64 Tahun Ibu Rindu Nak Pulang ke Tanahair.

Mariam ketika dipertemukan dengan anak-anaknya di rancangan Love In Asia dekat studio KBS. Imej dari Utusan Malaysia.

Detik bersejarah itu dah dirakamkan melalui rancangan Love In Asia yang ditonton oleh lebih dari 10 juta rakyat Korea Selatan. Pertemuan itu juga dah membuatkan ramai dari wartawan dan delegasi Puteri UMNO yang turut sama ke sana menangis teresak-esak melihat pertemuan itu.
“Mariam ada memberitahu pada sidang akhbar yang diadakan selepas pertemuan itu bahawa dia sudah terlalu tua untuk pulang (ke Malaysia) dan meminta maaf kepada anak-anaknya kerana meninggalkan mereka.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.

Kembali ke tanah air setelah 64 tahun

Beberapa bulan selepas peristiwa bersejarah di studio KBS, Mariam akhirnya diberikan peluang menjejakkan kaki semula di tanah air kelahirannya yang dulunya Tanah Melayu dan sekarang Malaysia. Setibanya Mariam ke rumah anaknya di Kota Tinggi, Johor pada 5 September 2007, Mariam dah disambut dengan paluan kompang, bunga manggar dan pertunjukan silat.
Sebelum itu, Mariam dah diterbangkan dari Korea Selatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Seterusnya, dia bermalam di Hotel Marriot, Putrajaya sebelum dibawa ke Kota Tinggi, Johor. Dia juga ditemankan oleh anak tirinya berserta menantu dan cucu tirinya.
“…sepanjang perjalanan dari Hotel Marriot Putrajaya ke Kota Tinggi, Mariam enggan melelapkan mata walau sesaat kerana ingin menikmati pemandangan sepanjang perjalanan itu.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.
Akibat Diculik tentera Jepun dan menjadi buruh paksa, 64 Tahun Ibu Rindu Nak Pulang ke Tanahair.
Mariam disambut di KLIA, setelah tiba di Malaysia. Imej dari tembam.wordpress

Majlis menyambut kepulangan Mariam itu juga dah dihadiri lebih dari 200 orang tetamu. Pelbagai kuih muih dan buah-buahan tempatan dah dihidangkan untuknya. Mariam jugak ada menyampaikan hasrat untuk menziarahi kubur bapanya. Bagaimanapun, kerana terlalu lama tinggal di Korea, Mariam agak sukar untuk berbahasa Melayu.
“Mariam ketika diminta bercakap dalam bahasa Malaysia kemudiannya menunjukkan kebolehannya mengira satu hingga sepuluh diikuti dengan tepukan oleh orang ramai yang mendengar temu bual itu.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.
Kembalinya Mariam ke tanah air adalah satu peristiwa yang sangat bermakna dalam lipatan sejarah Malaysia dan Korea. Ini kerana, perasaan syukur dimunajatkan kepada yang maha kuasa kerana memberikan wanita ini peluang menjejaki tanah lahirnya dan berjumpa dengan anak-anaknya walaupun setelah 64 tahun berpisah.
Akibat Diculik tentera Jepun dan menjadi buruh paksa, 64 Tahun Ibu Rindu Nak Pulang ke Tanahair.
Mariam disuapkan oleh anak tirinya, setelah berpuluh tahun tidak merasa buah durian. Imej dari Utusan Malaysia.

Kontroversi selepas Mariam meninggal dunia

Walaupun telah kembali ke Malaysia, tapi nampaknya Mariam tak mengambil keputusan untuk terus tinggal di sini kerana rupa-rupanya Mariam sudah lama memohon untuk mendapatkan kerakyatan Korea Selatan. Dilaporkan pada penghujung tahun 2007, Mariam diberikan status kerakyatan oleh Korea Selatan.
Mariam kembali semula ke Korea Selatan selepas itu dan terus tinggal di sana. Pada 5 September 2009, kita dikhabarkan dengan berita bahawa Mariam telah meninggal dunia di sebuah rumah kebajikan di Korea Selatan.

Mariam bergambar bersama dengan keluarganya dari Malaysia dan Korea. Imej dari k-popped.com

Bagaimanapun, berlaku kontroversi tentang status agama Mariam. Mariam dikatakan pernah berwasiat supaya jenazahnya diuruskan secara Kristian. Jenazah Mariam juga hampir-hampir nak dibakar kerana wasiat tersebut, Tapi perkara tu dapat dielakkan apabila pihak Wisma Putra masuk campur dalam hal tersebut. Oleh itu, berlakunya perbincangan antara pejabat Kedutaan Malaysia dan pejabat Menteri Luar Korea.
Jenazah Mariam akhirnya dihantar pulang ke Malaysia untuk diuruskan mengikut syariat Islam. Pihak Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) juga mengesahkan bahawa Mariam masih lagi beragama Islam ketika meninggal dunia. Ini kerana terdapat bukti untuk menguatkan dakwaan tersebut.
“Ini berdasarkan bacaan al-Fatihah dan pengucapan kalimah syahadah yang dilafazkan Mariam di hadapan dua anaknya, Jelani, 72, dan Ramlah Soni, 73, ketika tiga beranak itu bertemu semula di Seoul pada Julai 2007. Penyaksian kalimah syahadah itu juga dilafazkan di hadapan keluarga semasa warga emas tersebut pulang ke Malaysia pada Ogos 2007.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.
Akhirnya, jenazah Mariam dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Makam, Kota Tinggi, Johor pada 16 September 2009.

Fikirlah panjang-panjang sebelum nak larikan diri dan tinggalkan anak-anak tersayang

Walaupun perkara ni dah lama berlaku, tapi peristiwa yang dihadapi oleh Mariam Johari ini adalah satu perkara yang jarang-jarang berlaku. Kita sendiri tidak dapat membayangkan bagaimana Mariam menjalani kehidupannya selama lebih 60 tahun di negara orang. Apatah lagi bila mengenangkan anak-anak yang ditinggalkan. Mariam sendiri tak dapat sembunyikan perasaan bersalahnya kepada anak-anak yang ditinggalkannya itu. Dalam hal ini, bekas Mufti Johor (sekarang Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor) ada memberikan sedikit sebanyak nasihat kepada anak-anak muda dalam membuat keputusan.

”Anak-anak muda jangan mengikut perasaan untuk melarikan diri dari rumah dan berhijrah ke luar negara walaupun tindakan itu mempunyai sebab. Sebelum membuat apa keputusan, ibarat pepatah Melayu, tepuk dada tanya iman dan bukannya tepuk dada tanya selera.” – Datuk Nooh Gadut, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor. Dipetik dari Utusan Malaysia.
Akibat Diculik tentera Jepun dan menjadi buruh paksa, 64 Tahun Ibu Rindu Nak Pulang ke Tanahair.
Imej dari Berita Harian.

Walaupun begitu, bukan hak kita untuk mengataka tindakan Mariam itu betul atau salah. Ini kerana, zaman yang Mariam lalui tu penuh dengan cabaran dan konflik seperti Perang Dunia ke-2 dan sebagainya. Bagaimanapun, pujian wajib diberikan kepada produser rancangan Korea tu dan kepada semua pihak yang terlibat dalam menunaikan impian Mariam. Semoga kisah Mariam menjadi pengajaran kepada kita semua dan didoakan agar rohnya sentasa dicucuri rahmat serta ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

sumber:mediahijrah

error: Content is protected !!