Ajarlah Anak Lelaki Buat Kerja Rumah. Esok Nanti, Tidaklah Dia Cuma Goyang Kaki!

Ish! Mana boleh anak lelaki buat kerja rumah. Tak macho lah.

Alahaiii… itulah fahaman negatif dalam masyarakat yang tidak patut ada. Adakah salah seandainya anak lelaki membantu ibunya dalam urusan rumah tangga seperti menyidai baju, membasuh pinggan, menyapu sampah? Sikap sebegitu yang akhirnya akan dibawa hingga berkeluarga. Kesannya, mereka menganggap suami tak perlu membantu isteri dengan kerja-kerja rumah. Itu semua kerja orang perempuan. Suami hanya duduk goyang kaki saja!

Sunah Rasulullah

Seorang lelaki sepatutnya membantu isteri/ibunya melakukan kerja-kerja rumah kerana itu sunah Rasulullah s.a.w. Baginda sendiri membantu isteri-isteri baginda dalam kerja rumah tangga.

Yang dimaksudkan dengan sunah Rasulullah s.a.w. ialah ucapan-ucapannya, perbuatan-perbuatannya dan keputusan-keputusannya.

Semuanya itu merupakan sumber kedua sesudah Al-Quran bagi hukum-hukum Islam, aqidah-aqidahnya, syariatnya, dan cara-cara ibadahnya.

Jika suami mencuci bajunya sendiri bukan kerana ingin menyenangkan hati isterinya, bukan juga kerana takut tangan isteri menjadi kasar, tapi kerana Rasulullah s.a.w melakukannya.

Aisyah r.a. pernah ditanya seorang lelaki yang bernama al Aswad bin Yazid tentang apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w ketika dalam rumahnya? Maka Aisyah menjawab: Rasulullah s.a.w sentiasa membantu ahli keluarganya dalam kerja rumah. Dan apabila sudah tiba masuk waktu solat, Baginda keluar untuk solat. (HR Bukhari Muslim)

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘Anhu bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda; “Orang beriman yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik akhlaknya, dan orang yang paling baik akhlaknya adalah orang yang paling baik terhadap isterinya” (Riwayat At-Tirmidzi)

Peranan ibu

Sebagai ibu, kita perlu mendidik anak-anak lelaki kita supaya mereka dapat membantu isteri mereka kelak sebagaimana Rasulullah membantu isteri baginda. Tidak gembirakah kita bila dapat kerana mendidik anak-anak lelaki mengikut sunah Rasulullah s.a.w? Dalam masa yang sama, mereka turut membantu meringankan beban kita di rumah.

Walau bagaimana pun, sikap itu perlu dididik dari kecil dan di sinilah peranan ibu bermula.

Tanggapan

Buang tanggapan bahawa anak lelaki tak elok ke dapur atau membuat kerja rumah yang lain. Sebaliknya, beritahu mereka bahawa Rasulullah sendiri melakukan kerja-kerja rumah sedangkan baginda seorang insan yang sangat tinggi darjatnya, bukan sahaja di mata manusia bahkan di sisi Allah SWT. Jadi, adakah mereka tidak ingin diri mereka mencontohi Rasulullah s.a.w?

Apabila sudah terbiasa dari kecil, tidak timbul masalah lagi apabila mereka dewasa kelak. Yang pasti, isterinya kelak akan berterima kasih kepada kita kerana didikan kita itu.

Yang Ringan

Mula-mula, berikan tugasan yang ringan-ringan sahaja seperti meletakkan sendiri cawan di dalam singki selepas minum. Ia mengajar mereka erti tanggungjawab dan disiplin diri. Selepas makan, minta mereka bantu lap meja makan dan susun kerusi.

Sesuaikan dengan usia

Semakin besar, berikan tugas yang lebih berat. Misalnya usia 10 tahun, minta mereka buang sampah, mop lantai atau cuci pinggan, beli barang di kedai berdekatan dan sebagainya lagi. Kita juga boleh mengajar mereka memasak hidangan yang mudah kerana itu juga berguna untuk mereka bila besar kelak dan bila tinggal menyewa bersama rakan-rakan.

Puji dan ucapan terima kasih

Jangan kedekut untuk memberikan pujian kepada anak-anak selepas mereka selesai melakukan sesuatu kerja rumah. Ia akan memberi mereka dorongan dan semangat untuk mereka melakukannya lagi.

Ucapkan juga terima kasih untuk setiap pertolongan yang diberikan itu supaya mereka rasa diri dihargai. Barulah mereka ringan tulang dan tidak terasa terpaksa untuk membuatnya.

error: Content is protected !!